Monday, June 23, 2008

Sejarah SK Sentosa

Kewujudan Sek.Keb. Sentosa ini dirasakan perlu oleh pihak kerajaan kerana pertambahan penduduk di Taman Bandar Baru Kampar dan sekolah-sekolah sekitarnya tidak dapat lagi menampung jumlah pelajar yang begitu ramai. Pertambahan penduduk selaras dengan perkembangan industri kilang yang begitu banyak di kawasan Kampar ini khasnya di kawasan Taman Bandar Baru.
Sekolah ini telah dibina pada tahun 2000 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2001 dan secara rasmi tarikh tubuh sekolah ini ialah pada 1 Mac 2001 dengan bilangan seramai 306 orang pelajar dan 21 guru termasuk Guru Besar dan Guru Kanan.
Pada peringkat awal sekolah ini mempunyai jumlah murid seramai 312 orang dengan 172 murid berbangsa Melayu, 63 berbangsa Cina, 68 berbangsa India dan 4 murid berbangsa lain. murid ini dibawa masuk dari dua buah sekolah yang berdekatan iaitu Sek. Keb. Kampar dan Sek. Keb. Methodist (ACS) Kampar. Persekolahan sesi 2001 bermula dengan 10 buah kelas sahaja iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 5. Setiap tahun terdapat 2 buah kelas iaitu Idaman dan Impian dengan purata jumlah murid bagi setiap kelas ialah 31 orang,
INFRASTRUKTUR
Sekolah ini mempunyai 2 buah bangunan akademik dan satu bangunan kantin sekolah. Blok A menampung sebuah makmal sains, bilik Kemahiran Hidup, bilik Muzik, pejabat, bilik guru, surau, stor perabot, bilik pemulihan dan kelas dari tahun 4 hingga 6. Manakala di bangunan Blok B pula terdapat klinik, Stor Pendidikan Jasmani, Kedai Koperasi Sekolah, Bilik Kaunseling, Bilik Gerakan, Bilik Tayangan, Perpustakaan, stor alatan pejabat dan selebihnya kelas dari tahun 1 hingga 3.
GURU BESAR SKS
Guru Besar yang pertama adalah Encik Abdul Hamid bin Abdullah yang mencipta visi sekolah Menjana Insan Cemerlang. Kemudian, beliau diganti oleh Puan Faridah bt Yusop dari Oktober 2003 hingga Disember 2004. Mulai Januari 2005 sekolah ini diterajui pula oleh En. Mahmami B. Alias dan kemudiannya oleh Cik Zainab bt Hussin sehingga 16 Mac 2007. Selepas itu Sekolah Kebangsaan Sentosa ditadbir oleh Encik Ahmad Husni b. Hj Abd Manan sehingga 25 Ogos 2007 yang merupakan guru besar yang paling singkat tempoh masanya berkhidmat di sekolah ini. Kini Sekolah Kebangsaan Sentosa ditadbir oleh Encik Zaini bin Abdullah Sani PJK. Beliau dibantu oleh 3 orang guru kanan iaitu En Shahrom b. Hussien ( GK Pentadbiran), En. Ayob b. Haron ( GK. HEM) dan En Yub Omar b. Awang ( GK Kokurikulum).
LOKASI
Sekolah ini letaknya lebih kurang tiga kilometer dari bandar Kampar, iaitu di kawasan perindustrian Bandar Baru Kampar. Lokasinya yang berdekatan dengan kawasan perumahan yang kini sedang rancak membangun menjadikan sekolah ini sebagai pilihan utama penduduk setempat untuk menghantar anak-anak belajar di sini. Suasana yang tenang berhampiran dengan bekas lombong menjadikan sekolah ini begitu tenang. Sementelahan pula, Bandar Baru Kampar merupakan kawasan nadi ilmu di sini dengan adanya puluhan tadika, sebuah sekolah menengah, sebuah kolej dan sebuah universiti. Kesinambungan institusi pendidikan ini menjadikan Sekolah Kebangsaan Sentosa sebagai pilihan yang tepat para ibu bapa memulakan pelajaran awal anak-anak.















No comments: